Social Icons

Sejarah




Baitulmuqaddis, juga dieja sebagai Baitulmaqdis, al-Quds atau Jerusalem  ialah sebuah kota lama yang terletak di Timur Tengah. Baitulmuqaddis memainkan peranan penting bagi agama Islam,Kristian, dan Yahudi. Ia merupakan kota paling suci bagi agama Kristian dan Yahudi dan tempat ketiga paling suci dalam Islam.

Baitulmuqaddis ialah sebuah kota yang kaya dengan tamadun dan budaya. "Kota Lama" Baitulmuqaddis (juga dikenali sebagai Baitulmuqaddis Timur') dikelilingi dengan tembok yang dibina sejak kurun ke-15 lagi. Kota lama ini terbahagi kepada empat kawasan: Islam, Kristian, Yahudi, dan Armenia.

Menurut orientalis Barat, Baitulmuqaddis mula menjadi tumpuan selepas Nabi Daud a.s. menakluk Baitulmuqaddis daripada masyarakat yang bernama Jebusite. Nabi Daud a.s. kemudiannya dikatakan mula mengembangkan kota ini dan menjadikannya ibu kota kerajaannya. Baitulmuqaddis kemudian dikatakan diperintah oleh Nabi Sulaiman a.s. Mengikut ahli sejarah Yahudi, Nabi Sulaiman a.s. telah membina sebuah kuil yang diberi nama Kuil Sulaiman.


Tidak lama kemudian tentera Babylon mula menguasai Baitulmuqaddis daripada orang Yahudi. Nebuchadnezzar II, raja Babylon kemudiannya menakluk Baitulmuqaddis dan memusnahkan Kuil Sulaiman. Dia kemudiannya menghalau orang Yahudi daripada Baitulmuqaddis. 

Selepas beberapa dekad, tentera Parsi menakluk Babylon. Cyrus II, raja Parsi membenarkan orang Yahudi kembali ke Baitulmuqaddis dan membina semula kuil mereka. Kuil Kedua kemudiannya dibina oleh Herod Si Agung tetapi selepas kematiannya, kota ini jatuh ke tangan Rom.

Semasa pemerintahan Rom, masyarakat Yahudi di Baitulmuqaddis memberontak. Akibatnya tentera Rom mematahkan pemberontakan tersebut dan memusnahkan Kuil Kedua orang Yahudi. Yang tinggal hanyalah sebahagian daripada kuil itu yang dikenali sebagai Tembok Barat



Selepas pemberontakan tersebut, orang Yahudi dibenarkan tinggal di situ tetapi dalam jumlah yang kecil. Pada kurun kedua, Maharaja Rom memerintahkan supaya Baitulmuqaddis dibina semula dan membina sebuah kuil orang Rom di situ sambil menghalang kegiatan keagamaan orang Yahudi. Orang Yahudi kembali memberontak tetapi berjaya dipatahkan tentera Rom. Baitulmuqaddis dinamakan semula menjadi Aelia Capitolina.

Orang Yahudi dilarang memasuki Baitulmuqaddis. Selama 150 tahun selepas itu, kota ini menjadi tidak penting bagi kerajaan Rom. Namun demikian, Maharaja Byzantine iaitu Constantine I membina Baitulmuqaddis sebagai pusat keagamaan Kristian dengan membina Gereja Makam Suci pada tahun 335 masihi. Orang Yahudi tetap tidak dibenarkan memasuki Baitulmuqaddis kecuali semasa pemerintahan singkat Empayar Parsi pada tahun 614 hingga tahun 629.

Walaupun Al-Quran tidak menyebut mengenai nama "Baitulmuqaddis" tetapi hadith ada menyebut mengenainya. Menurut hadith sahih, adalah di Baitulmuqaddis Nabi Muhammad s.a.w. naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj. Kota itu kemudiannya ditawan oleh angkatan tentera Islam pada tahun 638 Masihi. Saidina Umar Al-Khatab secara peribadi pergi ke Baitulmuqaddis untuk menerima penyerahan Baitulmuqaddis kepada kerajaan Islam. Beliau seterusnya ditawarkan bersembahyang di dalam Gereja Makam Suci tetapi menolaknya dan sebaliknya meminta supaya dibawa ke Masjidil Aqsa Al Haram Al Sharif. Beliau mendapati tempat itu terlalu kotor dan mengarahkan supaya pembersihan dijalankan. Beliau kemudiannya membina sebuah masjid kayu di tempat yang sekarang merupakan kompleks bangunan Masjid Al Aqsa.

Enam tahun kemudian, Qubbat As-Sakhrah dibina. Struktur ini terdiri daripada sebuah batu yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdiri sebelum naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj. Perlu diingatkan bahawa kubah yang bersalut emas dan berbentuk oktagon ini tidak sama seperti Masjid Al Aqsa di sebelahnya yang dibina tidak lama kemudian. Semasa pemerintahan awal Islam, terutamanya semasa pemerintahan kerajaan Ummaiyyah (650-750) dan kerajaan Abbasiyyah (750-969), kota Baitulmuqaddis berkembang. Ramai orang berpendapat Baitulmuqaddis pada ketika itu merupakan tanah yang paling subur di Palestin.



Pemerintahan awal Islam juga mewujudkan sebuah tolenrasi di antara kaum. Namun semasa pemerintahan Al-Hakim Amr Allah, seorang khalifah kerajaan Fatimiyyah, beliau mengarahkan supaya semua gereja dan rumah ibadat bukan Islam dimusnahkan. Hal ini menyebabkan berlakunya Perang Salib. Pada tahun 1099, tentera Kristian Eropah menakluk Baitulmuqaddis. Mereka kemudiannya membunuh kesemua penduduk bukan Kristian yakni Muslim dan Yahudi.

Baitulmuqaddis kemudian dijadikan ibu kota Kerajaan Jerusalem. Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1291; Baitulmuqaddis sendiri ditawan oleh Salahuddin Al Ayyubi pada tahun 1187. Salahuddin juga membenarkan semua orang beribadat di Baitulmuqaddis tidak kira sama ada Kristian, Muslim atau Yahudi. 

Salahuddin al-Ayyubiatau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub (1137 -1193) mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurdis di Mesir dan Syria. Di Barat beliau dikenali sebagai Saladin. Dia juga terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib.


Salahuddin dilahirkan di dalam sebuah keluarga Kurdish di Tikrit dan dihantar ke Damsyik untuk menghabiskan pelajarannya. Ayahnya, Najm ad-Din Ayyub, ialah gabenor wilayah Baalbek. Selama 10 tahun Salahuddin tinggal di Damsyik di kawasan istana milik Nur ad-Din.

Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Shirkuh yang juga ketika itu merupakan panglima kepada Nur al-Din dan sering mewakili Nur al-Din dalam kempennya menentang Kerajaan Fatimiyyah di Mesir sekitar tahun 1160. Salahuddin kemudiannya mewarisi tugas menentang Kerajaan Fatimiyyah (akhirnya tumpas) daripada bapa saudaranya dan dilantik menjadi panglima pada tahun 1169. 

Di sana, dia mengambil alih tugas sukar mempertahankan Mesir daripada diserang tentera Salib dibawah Kerajaan Latin Baitulmuqaddis pimpinan Almaric I. Kemampuan Salahuddin diragui pada peringkat awal perlantikkannya sebagai panglima. Tiada sesiapa yang menyangka beliau dapat bertahan lama ekoran terdapat banyak perubahan dalam kerajaan dalam tahun sebelumnya seperti perebutan kuasa oleh gabenor-gabenor yang sedia ada dalam mendapat perhatian khalifah. Sebagai seorang ketua tentera asing dari Syria, Salahuddin tiada kuasa ke atas askar-askar Mesir yang terdiri daripada golongan Syiah yang ketika itu dipimpin oleh Khalifah Al-Adid.

Apabila khalifah itu meninggal dunia pada bulan September 1171, Salahuddin mengarahkan para imam mengumumkan nama Khalifah Al-Mustadi (Khalifah Abbasiyyah di Baghdad) semasa solat Jumaat. Sekarang, walaupun Salahuddin yang memerintah Mesir tetapi hanya sebagai wakil Nur ad-Din. Selepas dilantik menjadi pemimpin Mesir, Salahuddin melakukan perubahan terhadap ekonomi Mesir, menyusun semula angkatan tentera, dan menuruti nasihat ayahnya supaya mengelak daripada sebarang konflik dengan Nur ad-Din. Beliau menunggu sehingga Nur ad-Din meninggal dunia sebelum memulakan beberapa siri kempen ketenteraan. Pada awalnya terhadap beberapa kerajaan-kerajaan Muslim yang kecil kemudian ke atas tentera Salib. Dengan kewafatan Nur ad-Din pada tahun 1174, beliau menjadi Sultan Mesir. Beliau kemudian mengisytiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyyah. Beliau turut mengembalikan ajaran Sunah Waljamaah di Mesir.

Dalam dua peristiwa berbeza iaitu pada tahun 1171 dan 1173, Salahuddin berundur setelah satu siri serangan oleh tentera Salib. Salahuddin berharap bahawa kerajaan Salib ini tidak diganggu selagi beliau tidak menguasai Syria. Nur ad-Din dan Salahuddin hampir-hampir berperang akibat daripada peristiwa tetapi dengan wafatnya Nur ad-Din pada 1174, perang ini dapat dielakkan. Waris Nur ad-Din iaitu as-Salih Ismail al-Malik hanya seorang kanak-kanak ketika dilantik bagi menggantikan ayahnya. Walau bagaimanapun dia meninggal dunia pada tahun 1181.

Sejurus selepas Nur ad-Din meninggal dunia, Salahuddin berarak ke Damsyik, dan setibanya beliau di sana, dia diberi sambutan sambutan yang meriah. Dia mengukuhkan kedudukannya dengan mengahwini balu Nur ad-Din. Walaupun Salahuddin tidak memerintah Aleppo dan Mosul (dua bandar yang pernah dikuasai Nur ad-Din), beliau dapat menggunakan pengaruhnya dan menguasai kedua bandar itu pada tahun 1176 (Aleppo) dan 1186 (Mosul).

Sementara Salahuddin Al-Ayubbi menumpukan perhatiannya ke atas wilayah-wilayah di Syria, negeri-negeri Salib dibiarkan bebas, walaupun begitu beliau sering mencatatkan kemenangan ke atas tentera Salib di mana saja kedua-dua belah pihak bertempur. Beliau bagaimanapun tumpas dalam Perang Montgisard yang berlaku pada 25 November, 1177. Dia ditewaskan oleh gabungan tentera Baldwin IV dari Baitulmuqaddis, Raynald dari Chatillon dan Kesatria Templar.

Keamanan di antara Salahuddin dan negeri-negeri Salib tercapai pada 1178. Salahuddin meneruskan serangannya pada 1179 selepas daripada kekalahannya dalam Perang Montsigard, dan dalam serangannya ke atas sebuah kubu kuat tentera Salib beliau berjaya menumpaskan tentera Salib. Walau bagaimanapun, tentera Salib terus menyerang orang-orang Muslim. Raynald dari Chatillon mengganggu laluan perdagangan dan haji orang Islam dengan kapal-kapal laut di Laut Merah. Raynald juga mengancam menyerang kota suci Islam yakni Kota Mekah dan Madinah menjadikannya orang paling dibenci dalam dunia Islam. Sebagai tindak balas, Salahuddin Al-Ayubbi menyerang Kerak, sebuah kubu Raynald pada tahun 1183 dan 1184. Raynald kemudian menyerang dan membunuh kabilah yang dalam perjalanan untuk menunaikan haji pada tahun 1185.

Dalam bulan Julai tahun 1187, Salahuddin menyerang negeri-negeri Salib. Pada 4 Julai 1187, beliau bertempur dalam Pertempuran Hattin menentang gabungan kuasa Guy dari Lusignan (sebutan gi bukan guy), raja negeri-negeri Salib, dan Raymond III dari Tripoli. Tentera Salib yang letih dan dahagakan air mudah ditumpaskan oleh tentera Salahuddin. Kekalahan tentera Salib ini membei tamparan yang besar buat mereka dan menjadi satu titik perubahan dalam sejarah Perang Salib. Salahuddin berjaya menangkap Raynald dan beliau sendiri memancung kepala Raynald akibat kesalahannya. Raja Guy juga berjaya ditangkap tetapi beliau tidak dipancung.

Selepas tamatnya Perang Hattin, Salahuddin berjaya merampas kembali hampir keseluruhan kota-kota yang dikuasai tentera Salib. Beliau berjaya menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem) pada 2 Oktober tahun 1187 selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib (lihat Kepungan Baitulmuqaddis). Kecuali bandar Tyre tidak ditawan Salahuddin. Salahuddin membenarkan tentera dan masyarakat Kristian pergi ke sana. Kota itu sekarang diperintah oleh Conrad dari Montferrat. Dia mengukuhkan pertahanan Tyre dan berjaya menahan dua kepungan yang dilakukan oleh Salahuddin. Pada tahun 1188, Salahuddin membebaskan Guy dari Lusignan dan menghantar beliau kembali kepada isterinya iaitu Sibylla dari Baitulmuqaddis.

Perang Hattin dan kejayaan tentera Islam menawan semula Baitulmuqaddis mengakibatkan terjadinya Perang Salib Ketiga yang dibiayai di England melalui cukai khas yang dikenali sebagai "Cukai Salahuddin". Tentera Salib ini berjaya menawan semula Acre, dan tentera Salahuddin bertempur dengan tentera Raja Richard I dari England (Richard Si Hati Singa) dalam Perang Arsuf pada 7 September 1191. Kedua-dua belah pemimpin baik Salahuddin mahupun Richard amat menghormati antara satu sama lain. 
Mereka juga pernah bercadang untuk berdamai dengan mengahwinkan adik perempuan Richard, Joan dari England kepada adik lelaki Salahuddin, Al-Adil, dengan kota Baitulmuqaddis menjadi hantarannya. Rundingan ini gagal ekoran kebimbangan berhubung hal-hal agama di kedua-dua belah pihak.

Kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan dalam Perjanjian Ramla pada tahun 1192 yang mana kota Baitulmuqaddis akan terus berada dalam tangan orang Islam tetapi dibuka kepada penganut-penganut Kristian. Perjanjian itu menjadikan negeri-negeri salib hanyalah gugusan kecil di sepanjang pesisir pantai Tyre hingga ke Jaffa.

Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 4 Mac 1193 di Kota Damsyik tidak lama selepas pemergian Raja Richard. Apabila mereka membuka peti simpanan Salahuddin untuk membiayai upacara pengebumiannya, mereka mendapati ia tidak cukup (diriwayatkan Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu henyalah wang 5 Dinar) . Salahuddin telah memberikan hampir kesemua hartanya kepada rakyat-rakyatnya yang miskin. Makamnya yang terletak di Masjid Ummaiyyah merupakan tumpuan tarikan pelancong yang terkenal. Makamnya adalah antara makam yang sering dikunjungi umat Islam di seluruh dunia.

Pada tahun 1517, Baitulmuqaddis ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Sulaiman al-Qanuni membina semula tembok Baitulmuqaddis yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang ini terdiri daripada dua kuasa besar; iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Rusia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary.
Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Itali menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.

Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain.

Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke Algeria dan Sudan manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis.
Kerajaan Islam juga diserang dari utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam.

Perlu diberi perhatian bahawa pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa dan kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.
Perpecahan Negara Arab

Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab.
Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain.Sejak itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain. Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin.

Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan, “Hari ini, Perang Salib sudah berakhir”.

Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi.
Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 penduduk sebelum itu kepada mencecah setengah juta penduduk, manakala penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.

Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann.
Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut.
Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut.
Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju.

Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour:

“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”

“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”

“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”

Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.
Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.
Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama.

Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin.British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Bertitik tolak daripada situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.



British berjaya menewaskan Empayar Turki Uthmaniyyah semasa Perang Dunia I. Dengan kemenangan mereka itu, tentera British di Mesir memasuki Baitulmuqaddis pada 11 Disember 1917. Pihak British kemudiannya membina rumah-rumah baru di sini dan menyebabkan Baitulmuqaddis berkembang sehingga luar daripada temboknya. Pemerintahan British menandakan bermulanya suasana kelam kabut di sini. Pendatang-pendatang Yahudi yang mendapat perhatian daripada kerajaan British menyebabkan orang Islam amnya dan orang Arab khususnya mendapat layanan yang tidak adil. Keganasan ini terus meningkat sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an.

Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul.
Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular.
Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.
Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu, “Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?”
Lord Curzon menjawab, “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya – Khalifah dan Islam”.


Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac 
1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan.Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri.Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.

Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler.
Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4.

Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.
Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.
Penglibatan Amerika SyarikatAmerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel.

Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki.
Setelah Holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.


Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman.
Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu pemisahan Palestin dideklarasikan.

Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB.
Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini.
Presiden Israel yang pertama ialah Chaim Weizmann.

Sedari peristiwa Holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel.
Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat Holocaust tersebut.

Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika.
Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.
Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa.

Pada 29 November 1947, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan satu pelan untuk memisahkan Pentadbiran Mandat British di Palestin kepada dua buah negeri: satu untuk orang Yahudi, satu untuk orang Arab. Hal ini mengakibatkan berlaku pemberontakan di Baitulmuqaddis yang kemudiannya menyebabkan Perang Arab-Israel 1948 berlaku selepas pemerintahan Mandat British berakhir.

Semasa Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis terbahagi kepada dua. Bahagian baratnya yang meliputi bandar baru menjadi sebahagian daripada Israel manakala Bahagian timurnya termasuklah kota lama Baitulmuqaddis menjadi milik Jordan.

PBB mencadangkan supaya Baitulmuqaddis berada di bawah pentadbiran antarabangsa. Walau bagaimanapun, pada 23 Januari 1950, Parlimen Israel meluluskan satu resolusi untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Baitulmuqaddis Timur kemudiannya ditawan oleh tentera Israel dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Walaupun Israel membenarkan penganut agama di Baitulmuqaddis akses ke tempat suci mereka, terdapat banyak kerisauan mengenai beberapa serangan ke atas Masjid Al-Aqsa seperti kebakaran pada tahun 1969 yang disebabkan oleh seorang pelancong Australia yang gila. Status Baitulmuqaddis Timur tetap menjadi satu isu yang kontroversi.

Menurut satu pelan PBB, Baitulmuqaddis sepatutnya menjadi sebuah bandaraya antarabangsa dan bukan sebahagian daripada negeri orang Arab ataupun negeri orang Yahudi. Sempena Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis Barat diduduki oleh Israel manakala Baitulmuqaddis Timur menjadi milik Jordan.

Pada tahun 1967, semasa Perang Enam Hari, Israel menawan Baitulmuqaddis Timur dan mula mengambil langkah untuk menyatukan Baitulmuqaddis di bawah penguasaan Israel. Pada tahun 1988 Jordan menarik balik semua tuntutannya ke atas Tebing Barat (termasuklah Baitulmuqaddis) bagi menyokong Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Kedudukan Baitulmuqaddis masih lagi tidak terjawab.



No comments:

Post a Comment

About

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger templates

Intifada