Sheikh Raed Solah (dua, kiri) bergambar kenangan bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (dua, kanan). – Foto Rosli Talib
SHAH ALAM – Usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin membawa tokoh perjuangan Sheikh Raed Solah ke Malaysia mendapat respons yang begitu membanggakan.
Pengurus Komunikasi dan Korporatnya, Mohammad Faizal Mohd Safri berkata, tokoh terbilang ini merupakan pejuang tegar yang sanggup menjadi benteng demi menyelamatkan Palestin daripada terus ditawan Israel.
Menurutnya, Aman Palestin berusaha selama hampir enam bulan bagi mendapatkan pelepasan daripada kerajaan Israel serta mendapat kerjasama yang baik daripada Kementerian Dalam Negeri.
“Kunjungan beliau bukan hanya mahu berkongsi pengalaman malah turut mengutip dana untuk membina semula masjid-masjid di Palestin serta bagi membantu saraan hidup penduduk di sana.
“Inilah usaha kami. Hampir dua minggu Sheikh Raed Solah berada di sini, banyak pengalamannya dikongsi menerusi beberapa siri ceramah yang diadakan. Walaupun tidak dapat membawanya ke seluruh negara, namun ia sudah cukup memberi menyampaikan hasrat beliau,” katanya selepas sidang media Ceramah Masjid Al-Aqsa Dalam Bahaya di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
Katanya, Sheikh Raed Solah akan pulang semula ke Palestin pada 16 September dan akan membawa pulang dana sebanyak RM350,000 hasil sumbangan orang ramai.
Sementara itu, Sheikh Raed Solah yang juga merupakan orang pertama menemui terowong yang digali Israel untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa menyifatkan, kekejaman Israel ke atas Palestin perlu mendapat sokongan padu daripada seluruh umat Islam di seluruh dunia.
“Ini hanya usaha kecil saya untuk memberitahu kekejaman yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin. “Saya berharap semua pihak dapat bersatu hati menentang kekejaman ini dan membantu mendapatkan semula hak asal umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa,” katanya.
Sheikh Raed Solah akan berkongsi pengalamannya berada di bawah jajahan Israel serta penderitaan sepanjang berada di dalam penjara menerusi ceramah anjuran Majalah I dan Aman Palestin di pekarangan Kompleks Media Karangkraf pada 15 September ini selepas solat Maghrib.
Sumber : myberita.com
No comments:
Post a Comment